Kehidupan di dunia ini penuh dengan ujian. Tanpa mengira sesiapa pun sama ada orang itu kaya atau miskin tetap ada ujiannya.
Setiap ujian yang dihadapi dalam kehidupan ini mampu menjadikan seorang insan itu lebih kuat dan tabah.
Tidak mungkin orang beriman akan memperoleh pahala dan nikmat syurga tanpa sebarang ujian dan kesusahan. Cuma yang membezakan antara manusia adalah bentuk ujian yang diterima.
Pendapat dalam Artikel Pertama
Mungkin bagi sesetengah orang melihat ujian yang menimpa orang lain itu tidaklah dianggap ujian besar, namun orang yang melalui ujian itu yang lebih mengetahui.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
Ayat al-Quran itu menjelaskan fitrah orang beriman pasti akan diuji Allah SWT. Bagi memastikan iman seseorang hamba benar-benar kukuh kepada Allah SWT, maka ujianlah yang dapat menentukannya.
Ujian bukan saja dirasai orang yang lemah dan miskin, ia juga melanda orang yang kuat dan kaya. Itulah fitrah kehidupan yang ditentukan Allah SWT.

Sebenarnya, ujian dapat mendekatkan diri seseorang Muslim kepada Allah SWT. Tidak ada tempat selayaknya diharapkan pertolongan selain kepada Allah SWT.
Selain itu, apabila dihadirkan ujian, antara perkara yang perlu disematkan dalam diri ialah perlunya untuk bersabar. Mungkin ia mudah untuk diungkap, namun sukar untuk dipraktikkan sekiranya tanpa adanya iman.
Rasulullah SAW pernah menjelaskan kehebatan orang yang beriman kerana mereka sentiasa bersyukur dan bersabar dalam menghadapi urusan kehidupan dunia.
Baginda bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan. Setiap takdir yang ditetapkan Allah bagi dirinya adalah kebaikan. Apabila kebaikan dialaminya, maka dia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Apabila melalui ujian dalam hidup, selain daripada perlunya bersabar, setiap Muslim juga perlu berikhtiar dan berusaha supaya ujian yang dihadapi itu berlalu dengan lancar.
Umat Islam tidak boleh rasa lemah dan putus asa tatkala menerima ujian dalam kehidupan. Jauh sekali menyalahkan takdir Ilahi. Yakinlah, setiap ujian itu akan hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan berikhtiar menyelesaikannya.
Kisah ibu Nabi Isa, Maryam adalah contoh jelas betapa perlunya bersabar dan berusaha ketika melalui ujian dalam hidup. Maryam seorang wanita yang sentiasa menjaga kehormatannya.
Namun beliau dipilih Allah SWT untuk menjadi ibu kepada seorang nabi bagi kaumnya. Maryam adalah seorang insan baik, namun berdepan ujian cukup besar dalam hidupnya.
Bayangkan seorang wanita baik tiba-tiba hamil dalam keadaan dirinya tidak bersuami. Beliau dituduh dengan pelbagai tohmahan oleh kaumnya sendiri sedangkan beliau tidak pernah melakukan perkara yang dilarang.
Maryam amat sedih dengan apa yang berlaku ke atasnya sehingga merasakan lebih baik dirinya mati supaya keadannya itu dapat segera dilupakan kaumnya.
Perkara itu dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma), dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang.” (Surah Maryam, ayat 23)
Walau bagaimanapun, dengan kesabaran dan rasa reda dalam diri, Allah SWT menganugerahkan pertolongan untuk Maryam pada saat ingin melahirkan kandungannya.
Firman Allah SWT bermaksud: “Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya: “Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam, ayat 23-24)
Hayatilah dengan penuh keinsafan situasi dialami Maryam dalam ayat-ayat al-Quran berkenaan. Dalam keadaan Maryam seorang wanita baik dan menjaga kehormatannya, beliau diberi ujian oleh Allah SWT hamil ketika masih gadis.
Dalam keadaan dirinya sakit ingin melahirkan kandungannya, beliau membawa diri dan turut merasai kesakitan seperti wanita lain.
Tatkala datang pertolongan daripada Allah SWT yang menyediakan untuk Maryam air dan buah tamar, Maryam diperintah untuk menggegarkan batang pohon tamar supaya dapat makan buah-buahnya yang jatuh. Maha suci Allah SWT yang memiliki sifat Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Ketika Maryam ingin melahirkan seorang nabi, bantuan datang bagi meringankan ujian yang ditanggungnya. Namun, dia masih tetap disuruh berusaha mengurus ujian dalam hidupnya.
Boleh saja Allah SWT menghidangkan makanan terus kepada Maryam, namun beliau diperintah untuk menggegarkan pohon tamar supaya dapat dimakan buahnya.
Lihatlah betapa ujian yang datang daripada Allah SWT perlu diurus dengan usaha, bukan sekadar menunggu segalanya datang bergolek.
Ia peringatan jelas dinyatakan Allah SWT buat seluruh manusia, lebih-lebih lagi yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Ingatlah, ujian datang adalah untuk meningkatkan martabat seorang insan di sisi Tuhan.
Pendapat dalam Artikel Kedua
“Ustaz, kenapa Allah uji saya macam ni? Apa salah saya?”
Seorang gadis tingkatan 1 menangis di hadapan saya dengan teresak-esak. Malam itu, saya diberikan peluang memberikan perkongsian dalam sebuah sekolah menengah agama di Perak. Usai habis perkongsian, datang beberapa orang pelajar bertanyakan soalan peribadi. Dan akhirnya, sebelum saya balik, ada seorang pelajar tingkatan 1 datang pada saya.

Dia datang kepada saya bukan untuk bertanyakan soalan, tetapi lebih kepada meminta kata-kata semangat.
“Ustaz, boleh tak ustaz bagi kata semangat pada saya? Saya sedih dengan keluarga saya. Saya sedih dengan mak ayah saya. Saya sedih dengan adik beradik saya. Ustaz, tolong bagi saya kata-kata semangat supaya saya kuat untuk hadapi ujian keluarga macam ni..”
Bila saya mendengar luahannya, mata saya mula berkaca. Saya faham bahawa beratnya untuk menanggung beban ujian seawal usia sebegitu. Sebab saya juga pernah melalui situasi macam itu. Ujian yang datang secara bersilih ganti. Ada masa, ujian yang Allah berikan itu terasa senang untuk kita hadapi. Tetapi dalam banyak keadaan, ujian yang Allah berikan itu kita rasakan terlalu berat untuk ditanggung hingga akhirnya kita tertekan dengan tekanan yang teramat sangat. Hingga akhirnya, kita pun mengeluh,
“Kenapa mesti aku yang kena ?!”
Ujian Berbeza.
Setiap daripada kita pasti akan diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Apa yang saya hadapi, mungkin kamu tak pernah dan tak akan hadapi. Dan apa yang kamu hadapi, mungkin saya tak pernah dan tak akan hadapi.
Kenapa pula?
Sebab Allah dah beritahu bahawa kita semua PASTI akan diuji berdasarkan apa yang kita mampu. Allah dah sebutkan di dalam Al Quran,
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah al Baqarah 2:286)
Allah dah beritahu bahawa kita semua diuji berdasarkan APA yang kita mampu. Ya, dalam hidup ini, Allah akan berikan setiap ujian berdasarkan kapasiti kemampuan kita. Ujian demi ujian yang kita terpaksa lalui, sebenarnya PASTI dan PASTI kita kuat dan mampu sangat untuk hadapi. Percayalah, you never know how strong you are, until being strong is the ONLY choice you have.
“Tetapi Shuk, aku memang tak mampu. Dan, ada masa aku rasa macam nak bunuh diri. Serius, aku tak mampu..”
Tarik nafas sedalam yang mungkin. Saya nak beritahu kamu satu rahsia. Nak tahu apa dia? Ketahuilah, apa yang kita fikir, adalah apa yang kita doa kepada Allah. Maknanya, kalau kamu fikir tak mampu, selamanya kamu tak akan mampu dan tak akan boleh hadapi. Tetapi kalau kamu fikir mampu, selamanya kamu akan mampu dan boleh hadapi. Kenapa saya cakap macam ini? Sebab Allah pernah menyebut dalam satu hadis Qudsi,
“Aku adalah apa yang hamba-Ku sangkakan..”
(Muttafaqun ‘alaih)
Allah adalah seperti apa yang kita sangkakan. Maksudnya, apa yang kita sangkakan itu secara tak langsung akan menjadi DOA kepada Allah. Kalau kita sangka tidak mampu, seolah kita sedang berdoa kepada Allah supaya bagi kita untuk tidak mampu, dan paling kritikal adalah, jika Allah tunaikan ‘permintaan’ kita. Lalu selamanya kita tak akan mampu. Naudzubillah !
“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.”
(Surah Al Hujuraat 49:12).
Sebab itu, penting untuk kita bersangka baik kepada Allah dan diri sendiri. Kita semua mampu hadapi setiap ujian yang Allah berikan, cuma tinggal lagi pada diri kita untuk uruskan mindset macam mana saja. Betul, memang easier said than done. Cakap memang mudah, nak buatnya susah. Tetapi, apa salahnya kalau kita mencuba bersangka baik pada Allah. Kan?
Masa zaman saya belajar di UKM dulu, ada banyak peristiwa yang saya diuji sehingga terduduk dan menangis. Dan saat diuji itu juga, ada masa saya pilih untuk bersendirian. Tetapi syukur saya faham bahawa, bukan semua ujian kita perlu hadapi sendirian. Dalam banyak keadaan, berkongsi cerita berkaitan masalah dan ujian yang kita hadapi kepada sahabat baik sangat penting. Ini pentingnya ada sahabat yang baik. Di UKM dahulu, banyak kali saya bercerita masalah kepada beberapa orang sahabat baik antaranya almarhum Ustaz Abdillah, Ustaz Adnin, dan sebagainya.Kenapa Allah Menguji?
Pernah satu ketika, saya menghubungi Ustaz Adnin untuk berbual kosong. Tujuan saya hanyalah untuk meredakan tekanan jiwa. Saya pun berbual dengan dia seketika. Baru saja dia nak tanya tentang masalah saya, saya terus beritahu,
“Jangan bincang pasal masalah ana. Ana malas nak fikir.”
Dia okay kan saja. Kemudian saya terus beritahu,
“Adnin, bagi ana nasihat. Ana perlukan nasihat sekarang ini.”
Adnin terdiam seketika.
“Anta nak tahu kenapa Allah bagi anta ujian?” Adnin memulakan nasihat. “Sebab Allah nak suruh anta istighfar banyak-banyak. Istighfar ini memang menyelesaikan banyak masalah. Serius. Anta bayangkan kalau sekarang ini anta takde masalah, mana ada anta terfikir nak istighfar.”
Saya tersenyum kecil. Betul juga kata dia. Kalau Allah tak berikan ujian seberat ini, belum tentu saya nak istighfar sekarang ini. Sambil dia ulas tentang istighfar, saya pun istighfar sekali secara diam-diam.
“So Shuk, Allah nak anta istighfar banyak kali. Istighfarlah, insyaAllah akan selesai.”
Kemudian kami tutup perbualan. Saya setuju dan bermuhasabah dengan apa yang dia sebut.
Istighfar.
Bila saya bermuhasabah diri, sehari berapa kali saja saya beristighfar dan meminta ampun kepada Allah? Sedangkan Rasulullah ﷺ sendiri minimum sehari beristighfar 70 kali, ada dalam hadith riwayat lain ada menyebut 100 kali. Rasulullah ﷺ dah la maksum, suci daripada dosa, tetapi masih lagi minta ampun pada Allah.
Saya ni dahlah bukan malaikat, maksum memang selamanya takkan. Tetapi berlagak sombong bongkak ego dan malas untuk beristighfar pada Allah walaupun hanya 70 kali sehari. Sombong dan berlagak betul kepada Allah. Astarghfirullah. Mungkin ini antara sebab Allah menguji saya pada hari itu, iaitu supaya saya bertaubat dan beristighfar sebanyak-banyaknya pada Dia. Dan kalau kamu nak tahu, Allah menguji bukan sekadar hanya mahukan kita bertaubat, malah Allah dah beritahu dalam Al Quran,
“Adakah manusia menyangka, bahawa mereka akan dibiarkan, dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), Allah mengetahui, siapakah orang-orang yang benar-benar beriman, dan dapat diketahuiNya, tentang siapakah orang-orang yang berdusta.
(Surah Al Ankabut 29:2-3)
Allah nak melihat (walaupun Allah Maha Mengetahui dan sudah tahu apa akan berlaku) sejauh mana kesungguhan kita untuk taat perintah Allah dan menjauhi larangan Allah! Dan dalam masa yang sama, Allah menguji supaya kita dapat tahan lasak untuk hadapi dan perbaiki kelemahan diri kita.
Pernah ke kita jumpa jenama kereta yang ada di pasaran, yang tidak diuji terlebih dulu? Macam-macam ujian dilakukan ke atas sebuah kereta sebelum dipasarkan secara global walaupun kereta itu adalah yang paling low cost. Itu baru sebuah kereta, apatah lagi kita sebagai manusia yang Allah telah jadikan sebaik-baik ciptaan. Kan?
Saya boleh bahagikan sebab ujian Allah antaranya kepada 4 bahagian, Peringkat Ujian
- Allah menguji sebab nak menaikkan darjat kita.
- Allah menguji sebab nak membimbing hati kita.
- Allah menguji sebab nak mengampunkan dosa-dosa kita.
- Allah menguji sebab nak hukum dan sayang kita.
Untuk pengetahuan kamu, bukan hanya ini saja sebabnya. Boleh jadi ada lebih lagi sebab, tetapi untuk kali ini saya hanya senaraikan 4 sahaja. Apabila Allah menguji, kamu hanya ada dua pilihan, sabar dan redha atau sebaliknya.
“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.”
(Riwayat Muslim)
- Jika bersabar dan redha, maka Allah akan menaikkan darjat kita di sisi-Nya. Darjat ini tak akan nampak pada mata kasar, seperti darjah kebesaran diRaja. Tetapi kesannya boleh dilihat dengan mata.
Contohnya, jika orang itu sabar dan redha, kamu akan nampak orang ini tenang dan boleh uruskan masalah dengan tersusun. Mukanya pun akan sentiasa senyum saja dan tidak mengeluh. Tetapi kalau sebaliknya, kamu sendiri akan nampak dia serba tak kena, cakap pun mencarut dan memaki hamun saja. Kemudian menyalahkan ramai orang. Lagi bahaya dia menyalahkan takdir.
Sebab itu para ulama’ apabila bercerita tentang sabar, mereka akan mengaitkan dengan akhlak. Contohnya, Syeikh Junaid al-Baghdadi bila ditanyakan tentang sabar, dia menjawab,
“Menelan kepahitan tanpa bermasam muka.”
Imam Ahmad Al-Jariri pula sebut tentang sabar,
“Sabar adalah tidak memisahkan antara kenikmatan dan ujian dengan pemikiran yang tenang, sedangkan yang dimaksudkan penerimaan sabar adalah tenang menghadapi ujian dengan merasakan beratnya ujian.”
Imam Ruwaim pula menyebut,
“Sabar ialah meninggalkan keluhan.”
Tetapi kalau mula-mula dia tak sabar dan mengeluh, tetapi selepas beberapa ketika dia muhasabah diri semula, maka dia akan kembali ke pangkal jalan untuk mengurus ujian yang di hadapi dengan tersusun. Cumanya, dia tak dapatlah ganjaran pahala sabar yang sepenuhnya. Sebab Rasulullah ﷺ pernah bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya kesabaran itu pada pukulan (musibah) pertama..”
(Riwayat Bukhari)
Dengan kata lain, Allah menguji kita untuk membezakan antara orang yang betul-betul beriman dengan mulut, hati dan amal (termasuk orang yang sabar) dengan orang yang hanya pandai cakap saja.
- Seterusnya, Allah menguji sebab nak membimbing hati kita. Ini adalah hadiah yang paling istimewa buat orang yang beriman, bertawakal dan bersabar dengan ujian yang Allah berikan. Allah sebut di dalam al-Quran,
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Surah At-Taghaabun 64 : 11)
Imam Jalaluddin Al-Mahalli dalam tafsirnya, menafsirkan يهد قلبه (Allah akan membimbing hatinya) dengan “Allah memberikan hambaNya petunjuk dengan memberikannya kesabaran menghadapi musibah yang menimpanya.”
Kenapa hati? Perasaan sedih, kecewa, marah, semua tu datang daripada mana? Hati kan? Jadi, Allah yang membimbing hati kita. Apabila Allah dah bimbing hati kita, maknanya Allah akan membimbing sekali perasaan, emosi, cara fikir, idea, tingkah laku dan perbuatan kita. Allah.. Saya boleh jamin pada kamu.
Kalau ada masalah kewangan, Allah akan bimbing hati untuk mencari punca kewangan. Kalau masalah kesihatan, Allah akan bimbing hati untuk mencari jalan penyembuhan.
Kalau ada masalah keluarga, Allah akan bimbing hati kita untuk mencari jalan keluar.
Dan banyak lagi. Itulah harganya sekiranya kita bersabar dan kekal beriman sungguh-sungguh pada Allah. Allah akan bimbing hati kita, يَهْدِ قَلْبَهُ.
- Kemudian Allah menguji sebab nak mengampunkan dosa-dosa kita. Kita ini selalu berbuat dosa, dan ada kalanya dah banyak kali Allah tegur dengan cara “lembut”. Tetapi kita buat tak tahu saja. Sebab kita ambil remeh. Apabila kena “tegur” dengan ujian yang berat, barulah kita sedar dan nak berubah.
Sama juga macam di dalam kelas. Kalau cikgu atau lecturer tegur baik-baik, semuanya nak pijak kepala. Tetapi apabila dah naik rotan ataupun sebat, semuanya akan diam menikus, takut dan insaf.
“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu kelelahan, atau penyakit, atau kekhuatiran, atau kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya (dosa) kerananya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Dan terakhir, Allah menguji sebab Allah nak ‘menghukum’ atas kesalahan yang kita sengaja dan berulang-ulang kali buat. Mesti ada yang pelik, kenapa Allah nak menghukum kalau betul Allah sayang? Ramai orang keliru, kalau sayangkan sesuatu, kita tak boleh menghukumnya. Salah fikiran macam ini.
Contohnya, apabila ada seorang anak kecil berlari nak melintas jalan, tiba-tiba ada kereta nak melalui jalan itu, agaknya apa yang mak budak itu akan buat? Sudah pasti akan jerit sekuat mungkin untuk selamatkan anaknya. Dan apabila dapat tarik tangan anaknya, secara spontan dicubit tangannya. Adakah perbuatan maknya itu tanda dia benci dengan anaknya? Sudah pasti tidak. Tetapi dia marah sebab sayang! Wallahi, sebab sayang! Kalau mak itu benci, nescaya mak itu akan biarkan saja anaknya dilanggar. Buat apa susah payah menjerit dan berlari untuk selamatkan.
Tetapi Maha Suci Allah yang melebihi daripada itu. Allah mencintai dan menyayangi kita melebih daripada seorang ibu menyayangi seorang anaknya. Allah menguji bukan semata-mata nak menghukum kesalahan kita, tetapi melebihi daripada itu, ia adalah tanda Allah SAYANG dan RINDU sangat pada kita. Wallahi, Allah sayang dan rindu pada kita. Sangat sayang. Dia Maha penyayang. Ibn Attoilah pernah menyebut,
“Apabila Allah menjadikan kamu rasa tidak seronok, jemu dan tidak tenang dengan makhluk-Nya, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Dia mahu membuka untukmu pintu perasaan tenang, gembira, seronok dan tidak kesepian dengan-Nya.”
Bahkan Rasulullah bersabda dalam satu hadis qudsi,
“Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya.”
(Riwayat Thabrani)
Tips Menghadapi Ujian Allah Pada Pukulan Pertama
Ketahuilah, saya yang menulis ini pun sering kali gagal pada pukulan pertama saat ujian Allah itu datang. Tetapi, saya tetap ingin berkongsi sebagai peringatan khusus untuk diri saya sendiri.
- a) Yakin di dalam hati,bahawa setiap ujian daripada Allah adalah untuk menguatkan lagi iman dan nak menghapuskan segala dosa-dosa kita.Dan Allah hanya menguji bergantung pada sekuat mana iman kita. Tidak lebih, dan tidak kurang. Satu ketika, Rasulullah ﷺ pernah ditanya oleh seorang sahabat, “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?” Baginda menjawab,
“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang yang seperti mereka berikutnya lagi. Seseorang akan diuji sesuai kadar (kekuatan) agamanya. Jika (pegangan) agamanya kuat, maka ujiannya akan bertambah berat. Jika agamanya lemah, maka akan diuji sesuai kadar kekuatan agamanya. Maka senantiasa seorang hamba diuji oleh Allah sehingga dia dibiarkan berjalan di atas permukaan bumi tanpa memiliki dosa.”
(Riwayat Tirmidzi)
Dalam hadis lain, Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, gundah-gulana hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Dan banyak lagi hadis yang beritahu kita bahawa setiap ujian adalah bergantung sejauh mana keimanan kita, dan ia juga sebagai satu proses penghapusan dosa.
- b) Jangan cuba membanding-bandingkan ujian kita dengan orang lain. Ketahuilah, Allah menguji setiap orang BERBEZA-BEZA. Sebab apa? Sebab kemampuan setiap orang berlainan. Ujian yang dilalui adalah sesuai dengan kemampuan orang itu. Allah tidak akan beri ujian secara ‘pukul rata’. Ujian yang saya lalui, tak semestinya kamu boleh lalui. Begitu juga ujian yang kamu lalui, tidak semestinya saya boleh lalui.
Ada orang diuji dengan perceraian ibu bapa, hidup dalam kemiskinan sehingga merempat, hidup dalam keluarga yang jauh daripada agama, susah belajar, cacat anggota, dan sebagainya. Tetapi ada orang lain diuji dengan hidup kaya raya sampai harta melimpah ke jalan raya, hidup dalam keluarga yang sangat kuat amalkan agama, terlalu genius dengan kadar IQ 999, terlalu sempurna anggota, dan sebagainya. Itu semua ujian walaupun nikmat yang diberi keliling pinggang.
Ada orang diberi ujian kemiskinan, tetapi dia bersabar, akhirnya dia berjaya keluar daripada garis kemiskinan dalam tempoh beberapa tahun. Tetapi ada orang lain diberi ujian kekayaan, namun dia terlalu tamak, akhirnya muflis dan merempat di tepi jalan sampai bertahun-tahun lamanya. Begitulah seterusnya. Jadi teman, jangan bandingkan diri kita dengan orang lain.
- c) Jangan cuba melarikan diri daripada masalah. Hadapi, dan berusaha untuk selesaikan walaupun mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Bahkan mungkin mengambil masa seumur hidup. Yang penting, hadapinya, jangan putus asa. Putus asa bukan satu pilihan. Semakin kita lari daripada masalah, semakin besar masalah itu mengejar kita. Ada orang cuba lari daripada masalah dengan harapan hati akan tenang. Ketahuilah, kalau tenang pun, ia cuma sementara saja. Hakikatnya, kita tak boleh menipu diri sendiri.
Wallahu’alam.
Saya doakan moga kita semua mampu menghadapi ujian yang dihadapi masing-masing. Ameen.
Tulisan ini diambil daripada
- https://www.hmetro.com.my/addin/2018/10/390560/dugaan-tanda-Allah-sayang
- https://malaysiamerdeka.com/kalau-Allah-sayang-kenapa-Allah-uji-aku-seberat-ini/
Kata kunci: Allah uji sebab allah sayang, Allah uji sebab kita mampu, Allah uji sebab sayang